RSS

TENTANG KAMI

Perkenalan dua orang sahabat dalam mengenali dunia..

Komunikasi di Arab Saudi

Bismillahirahmanirahim.
Assalammualaikum w.b.t

Pada post yang lalu, kami telah menceritakan serba sedikit tentang nilai-nilai murni di negara Arab Saudi. Harapnya ia dapat mengubah persepsi kita terhadap negara tersebut. 

Baiklah, hari ini kami akan menyambung lagi dengan menceritakan bagaimana orang-orang Arab berkomunikasi. Orang Arab Saudi mempunyai dua jenis bahasa iaitu Fusha dan ‘Amiyyah. Bahasa Arab Fusha ialah bahasa arab standard atau baku yang digunakan dalam urusan-urusan rasmi seperti di sekolah, pejabat, berita, buku-buku dan sebagainya manakala bahasa arab ‘Amiyyah ialah bahasa arab pasar yang digunakan dalam komunikasi harian mereka.

Dari segi penyampaian maksud komunikasi, orang-orang arab ini tergolong dalam golongan berkonteks tinggi dan tidak langsung kerana kebanyakan mereka suka bercakap banyak akan tetapi terlalu berlapik-lapik dan kurang jelas. Contohnya, apabila seorang Arab Saudi berjumpa dengan sahabatnya, mereka akan bertanya khabar berkali-kali untuk menunjukkan sikap mengambil berat dan tanda keprihatinan mereka kepada sahabatnya itu. Selain itu, apabila seseorang itu bercakap secara langsung tanpa pernyataan, orang yang mendengarnya itu masih memerlukan huraian daripada percakapan tersebut. Begitu juga apabila dihidang dengan makanan, perkataan ‘La’ sahaja tidak cukup untuk meyakinkan bahasa mereka betul-betul sudah kenyang. Oleh itu, untuk meyakinkannya, para tetamu itu harus mengulangi ‘La’ beberapa kali dan disertai dengan sumpah seperti ‘Demi Allah’.

Selain itu, orang arab apabila berbual secara beramai-ramai mereka akan lebih suka menyampuk antara satu sama lain. Sebagai contoh, apabila orang pertama bercakap dengan orang kedua, orang ketiga akan terus mencelah dan begitu juga untuk orang-orang yang seterusnya jika mereka bertemu dimana-mana. Dari keempat-empat gaya individu yang ada di dunia ini, orang arab boleh dikategorikan sebagai orang yang ekspresif iaitu apabila mereka berkomunikasi disertai dengan pelbagai bahasa badan.

Antara bahasa badannya pula ialah dari segi gerak isyarat, lelaki lebih banyak menggunakannya berbanding dengan wanita. Apabila bertemu dengan seorang kenalan, mereka akan berjabat tangan dan meletakkan tangan kanan ke tengah-tengah dada untuk menunujukkan keikhlasan mereka kepada orang yang ditemui. Selain itu, apabila berjabat tangan mereka akan menggenggam dengan erat kadangkala hingga ke lengan dari atas hingga ke bawah. Oleh itu, apabila tidak berjabat tangan atau mengucapkan selamat tinggal sewaktu hendak berpisah, seseorang itu akan dianggap kurang ajar.

Selain itu, orang arab ini mempunyai gerak isyarat yang unik apabila ingin menyuruh seseorang itu tunggu sebentar ataupun bersabar ketika hendak menyeberangi jalan, orang arab akan mencium kesemua hujung jarinya yang menghadap ke atas.

Manakala, bagi menunjukkan maksud 'tidak mahu' , mereka menggunakan isyarat bunyi pada lidah dan diikuti mendongak kepala sedikit ke atas. Kemudian, kebiasaannya dalam masyarakat Arab, apabila mereka meletakkan tangan kanan di atas kepala sambil berkata 'ala raksi', ini menunjukkan bahawa mereka bersedia memberikan apa jua pertolongan yang diminta tanpa sebarang pembalasan.

Dan yang paling menarik juga ialah apabila ingin menunjukkan waktu pulang kepada para tetamu, mereka akan memberikan minuman kopi setelah dihidang makanan yang lain. Malahan, dalam budaya mereka itu, kopi yang dihidangkan itu mestilah dalam kuantiti yang sedikit dan pahit sebagai menu terakhir kepada para tetamu. Walaupun tuan rumah tidak mengungkapkan sebarang kata atau permintaan supaya tetamu pulang, akan tetapi dapatlah difahami melalui budaya mereka bahawa apabila kopi dihidangkan, ini bermakna sesuailah bagi tetamu untuk pulang ke rumah mereka kerana tiada lagi hidangan lain yang akan diberikan kepada mereka.

Seterusnya, ketika bertemu dengan sahabat karib mereka akan saling merangkul dan mencium pipi sahabatnya itu dengan bibir. Ini adalah kerana ingin menunjukkan hubungan mereka yang sangat rapat dan akrab.

Akan tetapi, ia akan disalah tafsir apabila kesemua ini dilakukan antara lelaki dan wanita seperti salam dalam keadaan sangat ghairah, bergurau senda dan mengajak keluar makan tengah hari bersama. Mereka juga tidak digalakkan untuk menunjukkan kemesraan mereka kepada sosial hatta memegang tangan sekalipun walaupun suami isteri. Begitu juga memegang tangan walaupun sesama jantina kerana mereka menganggap bahawa kelakuan itu adalah homoseksual.

Di samping itu, apabila berbual-bual budaya Arab Saudi biasanya akan berdiri sangat dekat sesama mereka. Hal ini kerana apabila seseorang itu berdiri berjauhan apabila sedang berkomunikasi, mereka akan tersinggung oleh sebab menganggap bahawa orang itu tidak suka dengan kehadiran mereka itu ataupun orang itu adalah seorang yang dingin dan tidak berperasaan. Begitu juga, apabila seseorang itu bersandar pada dinding dan meletakkan tangannya di dalam poket sewaktu berbual ia juga dianggap sebagai kurang hormat. Oleh sebab itu, orang arab saudi tidak akan meminta maaf apabila bersentuhan ataupun berlanggaran kerana bagi mereka itu adalah perkara yang baik.

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih. ^_^

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

ARAB SAUDI : Tidak Kenal Maka Tidak Cinta

Bismillahirahmanirahim.
Assalammualaikum w.b.t

Benarlah pepatah melayu ada mengatakan bahawa 'tidak kenal maka tidak cinta'. Itulah yang dapat dirasai oleh kami berdua setelah menemubual berkenaan budaya-budaya di negara Arab Saudi daripada seorang sahabat kami Reem Mahmoud yang kini belajar di dalam jurusan senibina di UIAM.

Apabila menyebut negara Arab Saudi, pasti di dalam fikiran kita ialah padang pasir, kasar dan ganas. Tapi, setelah mendengar cerita dari Reem, semuanya itu hilang begitu sahaja kerana lebih banyak perkara menarik yang perlu kita ketahui tentang budaya negara mereka itu.

Antaranya ialah nilai-nilai murni yang dimiliki oleh mereka sangat mengagumi kami berdua. Antaranya ialah mereka sangat bersifat kekeluargaan. Contohnya, apabila mereka menemui seseorang yang baru dikenali, perkara pertama yang akan ditanyanya ialah “Kamu anak kepada siapa?”. 

Selain itu, dari segi tanggungjawab di dalam keluarga, budaya mereka lebih serupa dengan budaya melayu. Ayah adalah ketua keluarga yang perlu memberi nafkah kepada keluarganya manakala ibu memainkan peranan sebagai mengasuh dan membesarkan anak-anak di samping menguruskan hal-ehwal rumahtangga.

Begitu juga anak lelaki akan menjadi pelindung kepada adik dan kakak perempuan mereka. Mereka juga diajar untuk membantu ayah mereka di dalam dan di luar rumah. Anak perempuan pula membantu ibu mereka melaksanakan pekerjaan rumah dan dididik untuk menjadi perempuan yang penyayang. Oleh itu, anak perempuan akan tinggal di rumah ibubapa mereka selagi belum bernikah dan apabila sudah mendirikan rumahtangga, mereka akan mengikuti suami mereka. Bagi anak lelaki pula, mereka mungkin akan pindah ke rumahnya sendiri setelah menikah akan tetapi sekurang-kurangnya  seorang anak lelaki akan tetap tinggal di rumah ibubapa mereka selepas menikah bagi mengurus dan menjaga kedua ibubapa mereka.

Seterusnya, mereka mengamalkan prinsip yang sangat bagus iaitu privasi tidak boleh ditunjuk-tunjuk. Sekiranya berada di tempat awam, pasangan suami isteri dilarang mempertontonkan kemesraan antara mereka. Jika mereka ingin bergurau dan ketawa, mereka harus memperlahankan suara mereka.

Malahan apabila bergaduh dengan pasangan, sahabat atau sesiapa sahaja juga tidak boleh berlaku di depan orang awam. Masalah dengan pasangan juga mesti dirahsiakan dan jarang diberitahu kepada orang lain walaupun sahabat karib sendiri.


Manakala suasana di rumah pula kebiasaannya rumah-rumah mereka dibina dengan tembok besar bagi melindungi perbualan dan hal ehwal rumahtangga mereka didengari oleh jiran tetangga. Malahan apabila tetamu datang ke rumah, tempat yang tetamu berdiri ketika pintu dibuka juga haruslah tidak boleh nampak ke dalam rumah. Oleh sebab itu, mereka akan membina satu ruangan untuk tetamu berkumpul dan selalunya ruangan itu adalah untuk lelaki. Biasanya, ruangan itu akan terletak dekat dengan pintu utama keluar dan terpisah dari rumah di belakangnya. 

Untuk tetamu perempuan biasanya mereka akan berkumpul di dalam rumah dan ia mempunyai jalan masuk yang berlainan yang memang dikhususkan untuk tetamu perempuan. Bagi sesetengah keluarga Arab, lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak boleh bercampur gaul sekali.

Adab ketika memasuki ruang tamu bagi mereka ialah semua orang akan berdiri dan saling menyalami antara mereka yang dimulai dengan orang yang paling kanan. Dan biasanya tuan rumah dan para tetamu akan memberikan tempat duduk yang paling depan kepada tetamu yang kali pertama hadir ataupun yang lebih tua sebagai tanda penghormatan. Dan di ruang tamu itu akan diletakkan bantal yang dialasi dengan permaidani untuk para tetamu. Mereka akan duduk di dalam bentuk bulat supaya tiada yang membelakangi dan telapak kaki tidak boleh diarahkan kepada orang lain kerana dianggap kurang sopan. 

Akan tetapi, jika seorang tetamu datang membawa seorang yang baru, mereka akan hanya berborak perkara-perkara yang umum sahaja tanpa menanya soalan-soalan privasi kecuali jika mereka selesa untuk memberitahunya.

Budaya Arab sangat menghormati dan memuliakan tetamu. Tuan rumah akan memberikan yang terbaik untuk memastikan tetamu-tetamunya berada dalam keadaan selesa.Dari segi makanan pula, tuan rumah akan menghidangkan makanan dalam kuantiti yang banyak agar para tetamu menikmatinya sehingga puas.

Selain itu,untuk meraikan tetamu tersebut tuan rumah dan anak-anaknya akan menjadi yang paling akhir untuk mula makan tanda penghormatan kepada para tetamu malah walaupun tuan rumah sudah selesai makan, mereka akan meneruskan makan seolah-olah mereka masih makan sehingga semua tetamu selesai makan supaya para tetamu itu tidak terburu-buru menghabiskan makanan mereka.

Jika dijemput makan di restoran, adalah adat orang Arab yang membayarnya.

Seterusnya, mereka juga mempunyai budaya memuji dan memberi. Bagi budaya Arab, apabila seseorang memuji sesuatu barang, si empunya diharuskan menawarkan barang tersebut kepada si pemuji walaupun barang itu sangat berharga baginya. Oleh sebab itu, mereka jarang memuji sesuatu barang itu.

Sekiranya mereka menerima sesuatu pemberian pula, adalah adat bagi mereka untuk tidak membukanya di hadapan pemberi begitu juga sebaliknya apabila mereka memberi sesuatu hadiah kepada seseorang mereka tidak mahu hadiah itu dibuka di hadapan mereka.

Pada Hari Raya Aidilfitri, budaya mereka sama seperti kita iaitu bertukar-tukar manisan dan makanan kepada para jiran dan ahli keluarga dan memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Pada Hari Raya Aidiladha pula, mereka akan bertukar-tukar daging korban daripada bahagian mereka.

Setakat ini sahaja dulu untuk kali ini, kami akan meyambungnya pada post yang seterusnya. Terima kasih.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS