Bismillahirahmanirahim.
Assalammualaikum w.b.t
Benarlah pepatah melayu ada mengatakan bahawa 'tidak kenal maka tidak cinta'. Itulah yang dapat dirasai oleh kami berdua setelah menemubual berkenaan budaya-budaya di negara Arab Saudi daripada seorang sahabat kami Reem Mahmoud yang kini belajar di dalam jurusan senibina di UIAM.
Apabila menyebut negara Arab Saudi, pasti di dalam fikiran kita ialah padang pasir, kasar dan ganas. Tapi, setelah mendengar cerita dari Reem, semuanya itu hilang begitu sahaja kerana lebih banyak perkara menarik yang perlu kita ketahui tentang budaya negara mereka itu.
Antaranya ialah nilai-nilai murni yang dimiliki oleh mereka sangat mengagumi kami berdua. Antaranya ialah mereka sangat bersifat kekeluargaan. Contohnya, apabila mereka menemui seseorang yang baru dikenali, perkara
pertama yang akan ditanyanya ialah “Kamu anak kepada siapa?”.
Selain itu, dari
segi tanggungjawab di dalam keluarga, budaya mereka lebih serupa dengan budaya
melayu. Ayah adalah ketua keluarga yang perlu memberi nafkah kepada
keluarganya manakala ibu memainkan peranan sebagai mengasuh dan membesarkan
anak-anak di samping menguruskan hal-ehwal rumahtangga.
Begitu juga anak lelaki akan
menjadi pelindung kepada adik dan kakak perempuan mereka. Mereka juga diajar
untuk membantu ayah mereka di dalam dan di luar rumah. Anak perempuan pula
membantu ibu mereka melaksanakan pekerjaan rumah dan dididik untuk menjadi
perempuan yang penyayang. Oleh itu, anak perempuan akan tinggal di rumah
ibubapa mereka selagi belum bernikah dan apabila sudah mendirikan rumahtangga,
mereka akan mengikuti suami mereka. Bagi anak lelaki pula, mereka mungkin akan
pindah ke rumahnya sendiri setelah menikah akan tetapi sekurang-kurangnya seorang anak lelaki akan tetap tinggal di
rumah ibubapa mereka selepas menikah bagi mengurus dan menjaga kedua ibubapa
mereka.
Seterusnya, mereka mengamalkan prinsip yang sangat bagus iaitu privasi tidak boleh
ditunjuk-tunjuk. Sekiranya berada di tempat awam,
pasangan suami isteri dilarang mempertontonkan kemesraan antara mereka. Jika
mereka ingin bergurau dan ketawa, mereka harus memperlahankan suara mereka.
Malahan apabila bergaduh dengan
pasangan, sahabat atau sesiapa sahaja juga tidak boleh berlaku di depan orang
awam. Masalah dengan pasangan juga mesti dirahsiakan dan jarang diberitahu
kepada orang lain walaupun sahabat karib sendiri.
Manakala suasana di rumah pula kebiasaannya rumah-rumah mereka
dibina dengan tembok besar bagi melindungi perbualan dan hal ehwal rumahtangga
mereka didengari oleh jiran tetangga. Malahan apabila tetamu datang ke rumah, tempat
yang tetamu berdiri ketika pintu dibuka juga haruslah tidak boleh nampak ke
dalam rumah. Oleh sebab itu, mereka akan membina satu ruangan untuk tetamu
berkumpul dan selalunya ruangan itu adalah untuk lelaki. Biasanya, ruangan itu
akan terletak dekat dengan pintu utama keluar dan terpisah dari rumah di
belakangnya.
Untuk tetamu perempuan biasanya mereka akan berkumpul di
dalam rumah dan ia mempunyai jalan masuk yang berlainan yang memang dikhususkan
untuk tetamu perempuan. Bagi sesetengah keluarga Arab, lelaki dan wanita yang
bukan mahram tidak boleh bercampur gaul sekali.
Adab ketika memasuki ruang tamu
bagi mereka ialah semua orang akan berdiri dan saling menyalami antara mereka
yang dimulai dengan orang yang paling kanan. Dan biasanya tuan rumah dan para
tetamu akan memberikan tempat duduk yang paling depan kepada tetamu yang kali
pertama hadir ataupun yang lebih tua sebagai tanda penghormatan. Dan di
ruang tamu itu akan diletakkan bantal yang dialasi dengan permaidani untuk para
tetamu. Mereka akan duduk di dalam bentuk bulat supaya tiada yang membelakangi
dan telapak kaki tidak boleh diarahkan kepada orang lain kerana dianggap kurang
sopan.
Akan tetapi, jika seorang tetamu datang membawa seorang yang baru,
mereka akan hanya berborak perkara-perkara yang umum sahaja tanpa menanya
soalan-soalan privasi kecuali jika mereka selesa untuk memberitahunya.
Budaya Arab sangat menghormati dan memuliakan tetamu.
Tuan rumah akan memberikan yang terbaik untuk memastikan tetamu-tetamunya
berada dalam keadaan selesa.Dari segi makanan pula, tuan rumah akan
menghidangkan makanan dalam kuantiti yang banyak agar para tetamu menikmatinya
sehingga puas.
Selain itu,untuk meraikan tetamu
tersebut tuan rumah dan anak-anaknya akan menjadi yang paling akhir untuk mula
makan tanda penghormatan kepada para tetamu malah walaupun tuan rumah sudah
selesai makan, mereka akan meneruskan makan seolah-olah mereka masih makan
sehingga semua tetamu selesai makan supaya para tetamu itu tidak terburu-buru
menghabiskan makanan mereka.
Jika dijemput makan di restoran,
adalah adat orang Arab yang membayarnya.
Seterusnya, mereka juga mempunyai budaya memuji dan memberi. Bagi budaya Arab, apabila
seseorang memuji sesuatu barang, si empunya diharuskan menawarkan barang
tersebut kepada si pemuji walaupun barang itu sangat berharga baginya. Oleh
sebab itu, mereka jarang memuji sesuatu barang itu.
Sekiranya mereka menerima sesuatu
pemberian pula, adalah adat bagi mereka untuk tidak membukanya di hadapan
pemberi begitu juga sebaliknya apabila mereka memberi sesuatu hadiah kepada
seseorang mereka tidak mahu hadiah itu dibuka di hadapan mereka.
Pada Hari Raya Aidilfitri, budaya mereka sama
seperti kita iaitu bertukar-tukar manisan dan makanan kepada para jiran dan
ahli keluarga dan memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Pada Hari Raya
Aidiladha pula, mereka akan bertukar-tukar daging korban daripada bahagian
mereka.
Setakat ini sahaja dulu untuk kali ini, kami akan meyambungnya pada post yang seterusnya. Terima kasih.